Friday, May 1, 2009

Hujjah Yaasin

12:59 PM, 17/11/2006 .. 0 comments .. Link

Yaasin Hati al-Quran

Ikhwah, aku ada membaca artikel yang ditulis oleh (Dr.) Mohd. Asri Zainal Abidin (MAZA) dengan jodol "Yasin sebagai Qalbul-Quran?" kat website Darul Kautsar yang dikatakan sebagai website geng Maulana Asri al-Kelantani yang mendakwa sebagai ahli hadits. Dalam artikel itu MAZA telah menyatakan bahawa hadis "Inna li kulli syai-in qalban wa qalbul Quraan Yaasin" yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam "Jami' at-Tirmidzi" sebagai hadits maudhu/palsu. Jadi MAZA telah menuduh dan mentohmah Imam at-Tirmidzi sebagai meriwayatkan hadits palsu dalam kitab haditsnya yang masyhur itu yang termasuk dalam sunan sittah rujukan utama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Mengenai Imam at-Tirmidzi dan Jami` atau Sunannya tersebut, tidak ada ulama Sunni yang berselisih untuk menjadikan ianya sebagai salah-satu rujukan utama. Para ulama telah memuji dan meletakkan karangannya itu ke satu tempat yang tinggi di sisi umat. Berhubung hadits-hadits yang terkandung dalam "Jami` at-Tirmidzi" atau dikenali juga sebagai "Sunan at-Tirmidzi" tersebut, Imam asy-Syaukani dalam "Nailul Awthar" menukilkan bahawa Imam at-Tirmidzi telah berkata:- "Aku tidak memasukkan ke dalam kitab ini melainkan hadits yang sekurang-kurangnya telah diamalkan oleh sebahagian fuqaha`".

SubhanAllah, hebat sungguh ilmu MAZA sehingga berani membuat tuduhan sedemikian hanya berpandukan kepada keterangan imam besarnya Nasir al-Albani dalam kitabnya "Silsilatul Ahaditsi al-Maudhu`ah wad Dha`ifah". MAZA telah menukil kalam tok syeikhnya tersebut yang kononnya para penganalisa hadits yang terdiri dari kalangan para ulama hadits telah menyemak sanad dan riwayat hadis ini dan menyimpulkannya sebagai hadis palsu. Ini adalah kerana seorang rawinya yang bernama Harun bin Abu Muhammad adalah seorang yang majhul. Begitulah mudahnya bagi al-Albani dan konco-konconya untuk memaudhukan sesuatu hadits atau mendhaifkan sesuatu hadits, bahkan kini ada trend orang yang mengaku dirinya muhaddits zaman ini yang menyamakan dhoif dengan maudhu (iaitu apabila dhoif maka ia maudhu).

Ikhwah, Imam at-Tirmidzi dalam komentarnya untuk hadits tersebut telah berlaku amanah apabila menyatakan bahawa Harun bin Abu Muhammad adalah seorang syaikh majhul. Lihatlah bagaimana amanahnya Imam at-Tirmidzi. Malangnya sikap amanah Imam Muhadditsin ini tidak dicontohi oleh MAZA bila dia tidak menyatakan dalam artikelnya itu bahawa kedudukan hadits ini menurut kajian Imam at-Tirmidzi adalah HASAN GHARIB dan bukannya maudhu/palsu.

MAZA juga tidak memaklumkan bahawa ada beberapa hadits lain yang menyokong matan hadits di atas walaupun sanad-sanad hadits lain ini juga dhoif. MAZA juga tidak jujur dan amanah dalam ilmu apabila tidak menyatakan perbezaan pendapat di kalangan Muhadditsin mengenai kedudukan hadits tersebut. MAZA hanya memenangkan pendapat Albani yang keilmuannya dalam ilmu hadits masih menjadi pertikaian ulama sezaman dan masa kini. Diharap MAZA dapat mengubah sikap fanatik dan taksubnya kepada Albani dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya sehingga sanggup mentohmah Imam at-Tirmidzi sebagai periwayat hadis palsu.

Ikhwah, berbalik kepada hadits yang masyhur sebutan dan maknanya di lidah umat. Ianya diriwayatkan oleh Imam at-Timidzi pada bab "Maa jaa-a fii fadhli Yaasin" dengan rawi-rawinya sebagai berikut:-
  1. Qutaibah dan Sufyaan bin Wakii';
  2. Humaiid bin Abdur Rahmaan ar-Ruaasi;
  3. al-Hasan bin Sholih;
  4. Harun bin Abu Muhammad;
  5. Muqaatil bin Hayyaan;
  6. Qataadah;
  7. Sayyidina Anas r.a.;
  8. Junjungan Nabi s.a.w. bersabda (matan hadis seperti di atas).

Dalam komentarnya, Imam at-Tirmidzi menyatakan bahwa:- "Hadits ini HASAN GHARIB yang tidak kami ketahui (mengenainya) melainkan daripada hadits (riwayat) Humaaid bin 'Abdur Rahmaan. Dan di Bashrah tidak diketahui ianya daripada hadits riwayat Qataadah melainkan dari wajah ini. Dan Harun Abu Muhammad syaikhun majhulun." Inilah penelitian yang dibuat oleh Imam at-Tirmidzi berhubung hadits di atas.

Imam at-Tirmidzi juga telah membawa satu lagi sanad bagi hadits tersebut melalui jalan Abu Musa Muhammad bin al-Mutsanna daripada Ahmad bin Sa`id al-Darimi daripada Qutaibah daripada Humaiid bin Abdur Rahman dan seterusnya seperti sanad yang pertama tadi. Selain dari itu, Imam at-Tirmidzi juga menyatakan dalam bab ini ada riwayat daripada Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. akan tetapi sanadnya tidak shahih bahkan dhoif dan juga telah datang satu riwayat daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a.

Syaikh Abul 'Ula Muhammad 'Abdur Rahman bin 'Abdur Rahiim al-Mubaarakpuuri (1283 - 1353) pengarang kitab "Tuhfatul Ahwazi bi Syarhi Jaami' at-Tirmidzi" membahaskan hadits ini dalam jilid ke-3 dari mukasurat 196 - 198. Bagi pernyataan Imam at-Tirmidzi bahawa hadits ini HASAN GHARIB, Imam al-Mubaarakpuri tidak menyatakan apa-apa komentar atau bantahannya terhadap ketetapan tersebut dan ini bermakna bahawa dia bersetuju dengan ijtihad Imam at-Timidzi berhubung kekuatan hadits tersebut. Bahkan dia juga menyatakan bahawa hadits ini juga dikeluarkan oleh ad-Darimi. Dia juga menyatakan hadits Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. yang dimaksudkan oleh Imam at-Tirmidzi tersebut adalah sebagaimana dikatakan oleh al-Hafidz Ibnu Katsir dalam tafsirnya bahawa hadits as-Siddiq r.a. tersebut telah diriwayatkan oleh al-Hakim at-Tirmidzi dalam kitabnya "Nawaadir al-Ushuul". Perlu diingat bahawa al-Hakim at-Tirmidzi adalah seorang ulama lain dan bukannya Imam at-Tirmidzi. Adapun hadits Sayyidina Abu Hurairah r.a., maka Imam Abu Bakar al-Bazzaar berkata bahawa telah memberitahu 'Abdur Rahman bin al-Fadhl lalu disebutkan segala sanadnya dengan lafaz hadits: - Inna li kulli syai-in qalban, wa qalbul Quran Yaasin" (Bahawasanya bagi setiap sesuatu itu hati, dan hati al-Quran ialah surah Yaasin).

Selain hadits as-Siddiq dan Abu Hurairah tersebut, Imam asy-Syaukani dalam "Nailul Awthaar" menyatakan bahawa Imam Ahmad telah meriwayat hadits berbunyi:- "Yaasin qalbul Quraan, laa yaqra-uha rajulun yuridullah wad daaral akhirata illa ghufira lahu, waqra-u-ha 'ala mautaakum" (Yaasin adalah hati al-Quran, tidak membaca akan dia seseorang yang berkehendakkan (keredhaan) Allah dan negeri Akhirat melainkan diampunkan baginya, dan bacakanlah ia atas orang mati kamu." Untuk pengetahuan ikhwah, "Nailul Awthar" ini adalah syarah bagi "Muntaqal Akhbar" karangan ikutan besar puak Salafi-Wahhabi iaitu Syaikh Ibnu Taimiyyah al-Harrani.

Ikhwah, Fadhilatul Ustadz al-Imam as-Sayyid Muhammad Zaki Ibrahim dalam "al-Iskaat Barakaatul Quraan 'ala al-ahyaa-i wal amwaat" mukasurat 22 menyatakan bahawa selain diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan ad-Darimi, hadits tersebut juga diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam "Syu`abul Iiman" (2/482) di mana Imam al-Baihaqi menyatakan, antara lain, bahawa hadits ini telah dinaqalkan dengan sanadnya tersebut daripada perkataan Abu Qalaabah yang merupakan salah seorang ulama besar dan pemuka tabi`in (min kibaari at-Tabi`in). Hadits ini juga diriwayatkan dalam "Musnad asy-Syahaab"(2/130), manakala Imam al-Qurthubi menyebutnya dalam Tafsirnya (15/2) dan menisbahkannya kepada Dhahhaaak daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas. Imam Abu Zar`ah ar-Razi telah meriwayatkan hadits ini dalam "at-Tadwiin fi Akhbar Qazwiin lil-Rafi`i" (3/243) dan menyebut bahawa al-Khathib menceritakan mengenai hadits ini dalam "Tarikh Baghdaad".

Walaupun begitu, aku tidak menafikan ada berlaku khilaf antara muhadditsin mengenai taraf hadits riwayat Imam at-Tirmidzi tersebut. Memang ada ulama yang mendhoifkan riwayat tersebut, antaranya Imam as-Sayuthi dalam "Jami`us Shoghir". Oleh itu bagiku, serendah-rendah taraf yang sewajarnya diberikan kepada hadits riwayat Imam at-Tirmidzi tersebut adalah dhoif dan bukannya maudhu`. Jikapun dalam sanadnya ada seorang syaikh yang majhul, tetapi ianya tidaklah boleh terus dihukumkan sebagai maudhu`, kerana majhul itu juga ada kategorinya dan mempunyai perbahasan luas dan tersendiri di kalangan muhadditsin.

TINDAKAN MAZA DAN TOK GURUNYA AL-ALBANI MEMAUDHU`KAN HADITS TERSEBUT MEMPUNYAI IMPLIKASI TERSENDIRI DI MANA MEREKA SEOLAH-OLAH MENYATAKAN YANG IMAM AT-TIRMIDZI ADALAH SEORANG YANG TIDAK TELITI DALAM MERIWAYATKAN HADITS KERANA BELIAU TELAH MERIWAYAT HADITS PALSU DALAM JAMI` ATAU SUNANNYA TERSEBUT. Adakah ini mesej yang hendak disampaikan oleh MAZA kepada umat? Jika begitu dimanakah kita harus letakkan kitab rujukan umat Sunni ini ? Adakah setaraf dengan kitab "al-Kafi" puak Syiah yang bercampur-baur dengan hadits-hadits maudhu'? Jika dikatakan bahawa Imam at-Tirmidzi sebagaimana manusia biasa boleh melakukan kesilapan dalam periwayatan dan ijtihadnya, maka apa yang menegah MAZA atau al-Albani untuk tidak melakukan sebarang kesilapan dalam penelitian mereka? Jika dibandingkan Imam at-Tirmidzi yang muhaddits lagi hafiz dalam bidang hadits, dimanakah kedudukan MAZA dan al-Albani? Kalaulah MAZA berhujjah bahawa dia berpegang kepada ijtihad al-Albani untuk memaudhu`kan hadits tersebut, maka adakah ijtihad al-Albani itu wajib diikuti oleh umat ? Adakah umat ini tidak berhak untuk mengikut ijtihad Imam at-Tirmidzi yang menyatakan darjat hadits tersebut sebagai HASAN GHARIB ? Oleh itu untuk penutup, nasihatku kepada MAZA dan golongan yang sewaktu dengannya ialah HENDAKLAH KAMU BERTAQWA KEPADA ALLAH DAN BERHATI-HATILAH SERTA BERADABLAH APABILA BERBICARA MENGENAI ULAMA TERDAHULU. Allahu `a'laam


Leave a Comment

No comments:

Post a Comment

BUAL BICARA BERSAMA AKIL

ShoutMix chat widget